| Majlis Daerah Jerantut Yang Dipertua, Majlis Daerah Jerantut, 27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur. Tel: 09-266 2205 Fax: 09- 266 1545 | |
| < kembali | |
Sejarah Bandar JerantutSepanjang yang diketahui mengikut cerita dan sejarahnya nama Jerantut telah disebut dan digunapakai semenjak zaman dahulu kala iaitu pada masa sebelum pemerintahan Sultan Ahmad (Wan Ahmad) Sultan Pahang yang pertama. Sultan Ahmad menaiki takhta memerintah Negeri Pahang selepas selesai perang saudara diantara Wan Ahmad dengan Tun Mutahir di Pekan. Wan Ahmad mengatur strategi dan menyerang Pekan dengan bantuan padu dan tenaga yang banyak dan kuat untuk menawan Pekan dari dikuasai Tun Mutahir, apabila mendapat sokongan besar orang-orang besar kawasan dan ketua-ketua penduduk tempatan dari berbagai puak dan lapisan yang setia kepadanya dari semua kawasan sebelah Ulu Pahang, iaitu dari kawasan Temerloh dan Semantan yang diketuai oleh Pahlawan Dato’ Bahaman, dari kawasan Lipis, Jelai dan Semantan Ulu Raub diketuai Dato’ Raja Jelai Wan Mahmud dan dari kawasan Jerantut dan sekitarnya diketuai oleh Dato’ Gajah Iman Rasu Abdul Salam. Sejarah menunjukkan bahawa cogan yang menjadi lambang kebesaran kerajaan negeri Pahang iaitu gading gajah yang bersilang dengan bayangan daun kahwa (kopi) dijelmakan dalam bentuk mata tombak ditengahnya serta dirangkaikan huruf ‘’YA-ALIF LAM THO YAA FA’’ iaitu ‘’YA-LATIFF’’ pada sebelah kanan dan kiri diantara hujung sebelah atas dua gading gajah bersilang dengan bilah mata tombak. ‘’YA-LATIFF’’ ialah zikir dalam amalan ibadah agama Islam, satu dari 99 nama Allah. Menurut pengkaji sejarah inilah satu daripada kelebihan dan ketinggian nilai penghormatan yang ada diterapkan pada cogan kerajaan negeri Pahang dari dahulu hingga sekarang dan mudah-mudahan hingga ke akhir zaman. Demikian jugalah hendaknya gandingan warna putih-hitam bendera negeri Pahang yang dihormati dan disanjung tinggi terus menjadi kesayangan dan kebanggan rakyat dan penduduk negeri Pahang selama-selamanya. Sayugia diingatkan bahawa ilham dan reka bentuk yang kemudiannya diterima dan dipersetujui cogan dan bendera negeri Pahang yang disebutkan di atas tadi, telah dirangka dan dibuat kata sepakat dalam pertemuan Wan Ahmad dengan para pembesar negeri dan ketua-ketua penduduk semua kawasan sebelah Ulu Pahang untuk menawan Pekan dan mengalahkan Tun Mutahir. Tempat pertemuan itu ialah di Bukit Main Angin di Ulu Tembeling daerah Jerantut sempadan negeri Pahang dengan Terengganu. Sesungguhnya Bukit Main Angin di Ulu Tembeling ada menyimpan sejarah penting dalam rangkaian beberapa banyak peristiwa sejarah di negeri Pahang yang tersendiri. Di mana tidak dapat dinafikan nama Jerantut ikut sama terukir dengan tinta emas dalam nostalgia sejarah tanahair umumnya. Nama Jerantut diambil dari sebutan penuturan Orang Asli dari suatu cerita zaman pemerintahan Sultan Ahmad, iaitu apabila beberapa orang Melayu yang tinggal di sekitar Kampung Sungai Salan di Pulau Tawar yang mencari ternakan kerbau mereka tidak pulang. Mereka telah bertanya kepada Orang Asli di kawasan kampung Paya Tambak tidak jauh dari sungai Pahang, di mana ada satu anak sungai yang mengalir airnya di atas batu-batu jeram kecil. Orang Asli itu menunjuk ke arah di mana kerbau itu berada dengan berkata dekat ‘’JERAM TUT’’ maknanya jeram itu. Kerbau yang dicari itu dijumpai tidak bergerak kerana tali pesaranya terbelit di sepohon pokok di tepi jeram itu. Lama kelamaan sempena peristiwa berjumpa kerbau itu maka tempat itu disebut atau diberi nama JERANTUT. Di zaman pemerintahan beraja, sultan melantik orang-orang besarnya di kawasan-kawasan yang ditentukannya untuk mentadbir, menjaga kehidupan rakyat dan keselamatannya dengan melantik Tok Penghulu bagi satu-satu mukim dengan dibantu oleh Tok Empat atau Ketua Kampung. Sistem pentadbiran itu diteruskan walaupun kini telah berubah oleh perubahan masa di zaman moden dan maju ini. Kebangkitan semangat kepahlawanan menentang penjajah British yang dipelopori oleh pahlawan Dato’ Bahaman di kawasan Semantan dan Temerloh, Mat Kilau anak Dato’ Gajah Iman Rasu Abdul Salam di sekitar Jerantut bermula di Pulau Tawar dan seluruh kawasan Ulu Pahang dengan dibantu oleh Orang Kaya Haji Wan Daud di Kuala Lipis dan pengikut-pengikut mereka memang hebat di sekitar tahun 1884 hingga tahun 1887, walau pun akhirnya mereka tewas dan membawa diri keluar dari Pahang untuk mencari tempat perlindungan ke negeri Terengganu dan Kelantan. Namun begitu semangat dan tekad perjuangan pahlawan-pahlawan dan wira-wira waja Pahang itu tidak hilang begitu sahaja, malah kekal dalam lipatan sejarah negeri Pahang walaupun pihak penjajah British melabelkan mereka sebagai penderhaka. Secara ringkasnya apabila British dengan tipu helah dasar penjajahannya seperti Negeri-negeri Melayu yang lain di Tanah Melayu ini, maka negeri Pahang pada tahun 1888 menjadi takluk British dengan dimasukkan ke dalam Negeri-negeri Bersekutu bersama negeri-negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dengan meletakkan seorang Pegawai Kanan British sebagai penasihat kepada raja-raja dengan gelaran British Residen. Di Pahang, British menjadikan Kuala Lipis sebagai pusat pentadbiran Negeri Pahang atau ibu negeri. British Residen juga tinggal di Kuala Lipis. Sistem pentadbiran British memperkenalkan pentadbiran peringkat daerah diseluruh Pahang dengan seorang Pegawai Daerah dari bangsanya. Kawasan yang bernama Jerantut diletakkan dalam daerah Lipis. Jawatan dan kuasa Tok Penghulu di mukim-mukim masih diteruskan dengan kehendak raja. Begitu juga dengan perlantikan kadhi-kadhi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam dan seterusnya diletakkan di bawah kekuasaan raja pemerintah termasuk hal ehwal adat resam melayu Pahang. Seorang Inspektor Polis dan beberapa anggota polis ditempatkan di situ untuk menjaga keamanan dan keselamatan seluruh daerah Jerantut. Balai Polis Jerantut pernah diserang oleh pengganas komunis di peringkat awal darurat diisytiharkan tetapi mereka tidak berjaya apabila bantuan pasukan keselamatan segera dihantar dari Kuala Lipis. Bandar lama Jerantut yang hanya 2 deret bangunan kedai yang dipunyai oleh kaum Cina adalah terletak tidak jauh dari stesen keretapi. Jalan keretapi dibina di awal tahun 1922 iaitu laluan keretapi Pantai Timur yang ada sekarang, manakala dalam masa yang sama jalan raya dari Kuala Lumpur melalui Bentong dan Raub terus ke Jerantut dan ke Kuantan adalah jalan utama menghubungkan negeri Terengganu dan Kelantan yang masih ada sekarang. Hasil utama daerah Jerantut ialah bahan-bahan pertanian, pemakanan dan getah, kayu balak dan rempah ratus atau herba dan kayu gaharu cendana serta tanaman padi dan buah-buahan dusun, hutan serta ternakan kerbau dan kambing. Pada tahun 1957, tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu tarikh keramat 31hb.Ogos, 1957, daerah kecil Jerantut dijadikan sebuah daerah penuh. Pegawai Daerahnya ialah Dato’ Abu Bakar bin Hussin anak kelahiran Chenor. Maka bermulalah daerah Jerantut dengan 10 buah mukim iaitu Pedah, Ulu Tembeling, Ulu Cheka, Kuala Tembeling, Tembeling Tengah, Teh, Kelola, Tebing Tinggi, Burau dan Pulau Tawar. Penghulu mukim-mukim berkenaan dan seluruh anak-anak buah mereka sangat bersyukur kerana segala urusan dengan pentadbiran daerah tidak lagi ke Kuala Lipis. Jerantut terus berkembang seiring dengan dasar pembangunan Kerajaan Pusat dan Negeri mulai 1960, dengan sokongan Tun Abdul Razak bin Hussin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Sekarang Jerantut dengan segala potensi dan lokasinya dalam semua bidang kemajuan pembangunannya sedang bersaing dengan daerah lain di Pahang. Sebelum Majlis Daerah Jerantut ditubuhkan pada awal tahun 1960 bandar Jerantut dan sekitarnya diurus dan ditadbirkan oleh Lembaga Bandaran Jerantut yang juga dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Dengan tertubuhnya Majlis Daerah Jerantut sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, maka perancangan bandar Jerantut sekarang dan akan datang sudah pasti akan menggambarkan kegemilangan sejarah semangat patriotik yang silam dengan semua pihak bekerjasama dan sefahaman dengan penuh tanggungjawab untuk masa depan dalam abad ke 21 hingga menjelang tahun 2020 khasnya. | |
| PERHATIAN: Sila layari www.mdjerantut.gov.my menggunakan PC anda untuk mendapatkan isi maklumat yang lebih lengkap, menyeluruh dan terkini. | |